Sunday, August 29, 2010

Kain putih itu ..

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum wrt.


19 Ramadhan 1431 H, 12.44 am

Berlalulah sudah 18 Ramadhan 1431 H yang bersamanya terlakar sebuah lagi lukisan pengalaman yang indah. Perjalanan sepanjang hari bersama teman tercinta yang solehah menjadikan setiap detik begitu bermakna. Alhamdulillah ya Allah ^^

Pagi kami tambah berseri saat menatap wajah mulus bakal seorang mujahid dan ulama', baby Abdullah yang comel. Tenang lenanya tanpa sedikit pun terganggu dengan kehadiran kami. Berbuai-buai rasa hati saat melihat wajah si comel yang suci tanpa dosa ini. Alhamdulillah, inilah keindahan aturan hidup yang telah Allah tetapkan buat saya. Mendampingi mereka yang solehah selalu memberikan saya suatu inspirasi kehidupan yang tidak saya temui di kuliyah pengajian akademik saya. Saya menyedari bahawa apa yang saya lalui saat ini merupakan suatu proses pentarbiyyahan wajib bagi yang bergelar wanita.
Apabila berbicara tentang wanita, sungguh ingin saya katakan yang saya amat bergembira kerana dilahirkan sebagai seorang wanita dan yang paling penting, a Muslim woman!
Blissful :))
alhamdulillah :)
Saya gembira kerana dalam kekalutan akhir zaman kini dimana semua wanita lain sibuk mencari-cari erti kebahagiaan dan ketenangan hidup yang sebenar, kita, para wanita muslim sudah awal-awal lagi merasa tenang dalam jagaan syariat Islam yang amat istimewa. Kita sudah bisa redha dan menerima seadanya saat mereka begitu kalut dan risau hanya dengan definasi kecantikan yang sering berubah-ubah mengikut arus masa, zaman serta nafsu manusia.
Rasa hati tak dapat digambarkan kerana kesyukuran yang amat sangat kerana terpilih untuk tetap dalam iman, berada di atas jalan yang sama dengan Rasulullah saw dan para solihiin. Walaupun telah 1400 tahun kekasih yang agung itu meninggalkan kita, sentuhan tarbiyyah dan didikannya masih dapat kita rasai dan kesannya dapat dilihat pada para mu'minah.

Saya kagum melihat si gadis kecil yang indah akhlaknya hasil didikan dan sentuhan dari ibu yang mithali.
Saya kagum pada seorang gadis yang sanggup mendahulukan Allah dan Rasul-Nya melebihi cintanya kepada dunia walaupun semua yang disisinya bagai mengasak-asaknya untuk turut sama menikmati arus zaman yang penuh tipu daya!
Saya kagum pada kekuatan hati seorang ibu yang mendidik anaknya dengan penuh kesabaran dan kasih sayang tanpa sedikit pun berharap akan pembalasan; yang ada cumalah sebuah doa dan harapan agar anak yang dikandungkan itu bakal menjadi seorang yang berguna buat agama dan ummat.



Duhai permata hati, membesarlah dalam rahmat Allah.

Ya, begitu besar harapan pada si kecil saat mata saya bertaut dengan mata si kecil yang bercahaya. Tingkahnya yang bersahaja dengan senyuman yang sangat sangat ikhlas membungakan kebahagiaan. Sekadar terikat dengan ikatan aqidah sudah membuahkan rasa yang indah, saya yakin besar lagilah harapan si ibu buat mujahid kecil.

Selamat ukhti, selamat mencorak kain putih itu.


Semoga lebih ramai mujahid yang bakal lahir untuk menyelamatkan umat yang semakin karam ditelan arus masa dan kejahilan ini.





Saturday, August 14, 2010

Ouch!



Bismillahirrahmanirrahim..

Semester ini berbeza dengan penggal-penggal pengajian saya sebelum ini. Kali ini, saya direzekikan oleh Allah swt untuk mendiami sebuah bilik yang betul-betul menghadap blok kediaman pelajar lelaki. Dengan jarak yang kurang dari 10 meter, kami pelajar-pelajar disini sungguh sungguh bergantung kepada iman kami untuk amanah dengan mata dan diri sendiri. Kebebasan untuk selalu menikmati pandangan luar tingkap dan menghirup udara segar terbatas selagi berada di dalam bilik. Nikmat udara segar dan pemandangan yang hijau yang menyegarkan mata tidak lagi saya miliki. Nikmat yang dahulu Allah pinjamkan kepada saya, namun, sangat jarang saya syukuri :(


Kampus saya, Puncak Alam:)


Saya memujuk diri dengan bersabar dan bersabar..

************************************************************************

Sedari pagi lagi, saya bersedih kerana deria sakit di dalam mulut dan mata saya seakan-akan meronta-ronta minta diberi perhatian. Ketidakselesaan ini saya bawa dalam sujud dan rukuk saya, saat saya berdiri menghadap Allah, saat perut saya berlapar, saat tenaga semakin berkurang, saat matahari memancar terik dan saat saya perlu berkomunikasi dan bercakap dengan orang di sekeliling saya.

Ikutkan hati, nak je saya guna bahasa isyarat masa beli makanan tadi :(

Tetapi saya sedar, ketidaknormalan yang saya hadapi saat ini adalah sebuah penganugerahan yang tidak ternilai daripada Allah swt. Mata yang merah dan membengkak mengingatkan saya betapa kurangnya saya bersyukur saat mata saya masih sihat, putih dan cantik. Kini, untuk membaca apa yang baru sahaja saya karangkan pun memerlukan mata saya untuk fokus. Ketika pulang dari solat terawih, terkebil-kebil saya meneliti orang dihadapan agar tidak tersilap memanggil kawan-kawan saya. Terima kasih kepada Aisyah kerana selalu menjadi benteng saya sekarang. Secara psikologinya, saya berasa sangat rendah diri apabila berada di khalayak ramai kerana saya sangat merasakan orang melihat saya dengan persoalan yang tak terluah seperti "eh, sakit mata ya?" ataupun "eyy, mata dia..". Tak perlukan orang lain, saya sendiri pun takut menatap wajah sendiri. Dengan mata merah menyala dan membengkak, saya rasa saya layak untuk dicalonkan sebagai pelakon tambahan bagi filem seram! Tetapi, inilah antara kesakitan lain yang dialami bagi orang yang sakit. Saya mempelajarinya secara teori dalam subjek Health Psychology, dan kini saya melalui praktikalnya. Terkenang pula pada adik bongsu saya yang saya jaga ketika adik sakit kelmarin. Ada kalanya saya jadi kurang sabar dan geram bila adik berdegil sehingga terlepas juga seperenggan dua bebelan untuk adik. Yang saya kagumi, dalam kekusutan dan keserabutan yang dilalui, ditambah pula dengan masalah kesihatan, adik relax je tadah telinga dan buat muka selamba layan bebelan saya. Sikit pun adik tak melawan.

Maka, bila melalui apa yang adik lalui, saya rasa saya LEBIH kurang tabah dan LEBIH kurang bersabar dari adik. Entah dari mana kekuatan jiwanya datang, sungguh sungguh ingin saya contohi. Terima kasih sayang kerana bersabar dengan kakak.

Oh ya Allah, saya sangat malu.

p/s: Sesungguhnya sabar itu indah, kawan-kawan. Jadi, bersabarlah!

Friday, August 13, 2010

Pagi yang indah~


Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah

:)
Saat mata yang sakit ni cuba saya bukakan untuk hari yang baru, saya sedar pujian dan kesyukuran hanya untuk al-Khaliq kerana masih mengurniakan kesempatan bagi saya untuk bernafas dan terus hidup.

Streotype?

Mungkin, tapi saya tak kisah.

Kerana kali ini saya yang merasai ujian nikmat kesihatan yang diambil kembali pulang kepada Pemilik-Nya. Saya juga yang merasai kepedihan saat cuba membuka kelopak mata yang membengkak.
Berbaur rasa hati kerana saat melalui kepedihan dan kesedihan kerana diuji dengan kesakitan, Allah swt masih sudi mencampakkan secebis bahagia di hati saya pada fajar Ramadhan ini.

Alhamdulillah.
Seusai solat subuh, rindu dan ingatan saya membawa saya kepada keluarga di kampung. Tiada ungkapan kata-kata yang dapat menggambarkan kebahagiaan saya saat ini. Memori saya menjengah ke ruang keluarga di mana di situlah Mak biasanya akan melaksanakan kefardhuannya kepada Allah swt. Saya melihat Mak yang penuh kekhusyukkan sujud menghadap yang Esa. Lama sujudnya mendoakan kesejahteraan anak-anak sekalipun nasibnya kelak masih belum tentu.

Kerap kali saya mempersoalkan diri "Bisakah kami mempersiapkan kebahagiaan di hari tua Mak dan Ayah setelah mereka menghamparkan kami kasih sayang yang tidak bertepi sejak kami kecil?"Kebisuan yang menyahut soalan saya. Yang ada cuma segenggam azam yang saya tanam jauh di sudut hati untuk mereka dan tangan yang yang saya tadahkan ke langit sambil bibir dan air mata saya beriringan memohon,


' Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil '
(Surah al-Isra': 24)




Suara ayah mengalunkan zikir menjadi melodi yang rutin bagi memecahkan keheningan subuh di teratak kami. Sedari kecil, saya diajar untuk melazimi zikir-zikir ma'thur, dan sehingga kini ayah masih sama dengan peringatannya itu. Ia menjadi halwa telinga yang dengannya kami adik beradik membesar. Andai tiada lelaki ini, saya tidak mampu membayangkan kedudukan saya saat ini.

Justeru,

Terima kasih ayah.

Terima kasih kerana memperkenalkan saya dengan bulan yang diciptakan oleh Allah.


Terima kasih kerana suka bercerita kisah-kisah para anbiya' kepada saya dan adik-adik.


Terima kasih kerana membetulkan pronounciation 'lion' saya walaupun saya nangis-nangis sebab ayah garang. (^_^)v

Dan dan..

Terima kasih kerana mewasiatkan saya dengan wasiat yang disampaikan oleh Luqmanul Hakim kepada anak-anaknya didalam al-Qur'an.


"Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, 'Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar'"

"Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu"

"Dan jika keduanya memaksamu mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati kedua-duanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan kuberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

"Luqman berkata' Wahai anakku! Sungguh jika ada sesuatu perbuatan seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus, Maha Teliti"

"Wahai anakku! Laksanakanlah solat dan suruhlah manusia berbuat yang makruf dan cegahlah (mereka) dari yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesunguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting"

"Dan jangalah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri."

"Dan sederhanalah dalam berjalan, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai"

[Luqman: 13-19]

Maka, nikmat Tuhan yang manakah yang patut saya dustakan?


Thursday, August 12, 2010

Dengan nama Allah.


Bismillahirrahmanirrahim~
this is my countless attempt to write.
Isy isy.. Tak yakin pada diri sendiri ya Nisa'?

Laju saya menganggukkan kepala. Percubaan berkali-kali saya selalunya berakhir dengan pilihan untuk memadamkan kembali apa yang telah saya coretkan. Dan percubaan yang berkali-kali itu tidak mengambil masa yang sedikit, tetapi ia melibatkan kerahan masa dan tenaga yang banyak.

Saya tak begitu yakin yang saya pada akhirnya akan bisa menghasilkan sesuatu yang bernas untuk menjadi bahan bacaan dan tazkirah kita bersama. Bukan mencari kesempurnaan pada penulisan, tetapi saya tidak redha andai apa yang bakal saya titipkan ini tidak punya nilai untuk kebaikan ummah, apatah lagi untuk dinilai di sisi Allah swt.

Namun, bagi mereka yang menjadikan penulisan dan blogging sebagai sebahagian daripada hidup mereka, usaha dan minat mereka amat saya hargai. Masakan tidak, sebelum mula memaksa diri untuk memerah otak dan berkongsi karya melalui penulisan, saya adalah insan yang sewenang-wenangnya beranggapan bidang penulisan adalah bidang yang mudah dan enteng. Selalu mengambil ringan keperluan dan peri penting bidang penulisan, sungguh kini amat saya kesali. Saya memohon keampunan kepada Allah swt kerana dahulu pernah beranggapan bahawa Sains adalah segala-galanya menyebabkan saya memandang sebelah mata keperluan untuk memperbaiki kemahiran bahasa dan penulisan saya samada dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris mahupun bahasa Arab dan Mandarin. Saya lupa, semua itu adalah ilmu alat yang sangat memungkinkan bagi seorang hamba mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah swt. Namun, saat hidayah Allah mengetuk kamar hati, saya sedar apa yang saya miliki MESTI saya kongsikan bersama semua kerana SHARING IS CARING! Slogan yang mudah dan biasa menyapa cuping telinga, namun, kesannya begitu besar dalam diri dan kehidupan seseorang insan.



Atas indahnya nikmat perkongsian, kita bertebaran di atas muka bumi Allah ini dengan harmoni dan tenang. Atas rasa ingin berkongsi dan tanggungjawab, kita bernaung di bawah sebuah ketenangan yang bernama keluarga dan kerana perkongsian jugalah saat ini saya menitip kalam dan anda membacanya.

Dek kerana saya telah pun tahu, didesak oleh mahu, saya saat ini mengasah diri untuk menuju mampu agar apa yang dipinjamkan kepada saya tidak terhenti dan berakhir hanya pada diri saya sendirian. Hidup dalam rantaian kasih sayang, saya berdoa agar secebis ikhtiar ini dipandang oleh Allah swt sebagai amal soleh. Amiin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...