Showing posts with label Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Ilmu. Show all posts

Wednesday, March 9, 2011

The Do's and the Don'ts- Jagalah Disiplin Ini

Bismillahirrahmanirrahim.

First of all, i would like to express my apology to everyone for an article I wrote before; entitled "CINTA". As for now, I'll keep it as draft. The reason of why I'm deciding this is because, I'm afraid that I, unfortunately, talking about something that I don't have enough knowledge about it. Yes, I love it when it comes to talk about him SAW, yet, I'm afraid of talking wrongly or talking of what he is not.

Here, I found an article written by our brother, Mrblinc, which I do not know who he is, somehow, May Allah bless him with good deeds. Written in a simple and easy to understand way, this article insyaAllah will help us to understand better of why we need to be very careful when it comes to this matter and how are we going to do it.


:)


Sebenarnya sudah lama saya ingin menulis tentang perkara ini, namun cuma hari ini saya ada sedikit kelapangan, alhamdulillah.. Perkara yang saya maksudkan adalah berkenaan disiplin kita dalam beragama, terutama ketika kita berbicara tentang hadits-hadits Nabawi..


Saya melihat ramai di kalangan kita yang suka mengemukakan “hadits Nabi S.A.W,” kemudian di belakang “hadits” tersebut ditulis “AL-HADIS”.. Mungkin bagi sesetengah pihak tidak melihat ini sebagai satu kesalahan, tetapi bagi saya, seelok-eloknya perkara sebegini diperbetulkan.. Ini kerana banyak yang didakwa sebagai “AL-HADIS” itu sebenarnya bukanlah hadits Nabi S.A.W..


Telah tsabit satu hadits dari Nabi S.A.W, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab shahihnya, tentang keadaan di akhir zaman, di mana akan ada pendusta (dajjalun kadzdzabun) yang akan membawakan hadits palsu.. Dalam hadits tersebut, Nabi S.A.W memberikan isyarat kepada kita supaya berhati-hati dalam dakwaan sesetengah pihak memalsukan hadits, “La yudhillunakum, wa la yaftinunakum – Jangan biarkan mereka menyesatkan kalian, dan jangan biarkan mereka menimpakan fitnah atas kalian.“


Namun sayangnya, tidak ramai antara kita yang sedar tentang perkara ini, dan secara tidak sengaja telah terjerumus ke dalam fitnah tersebut.. Bahkan lebih parah apabila mereka bukan sahaja percaya bahawa “hadits” tersebut adalah hadits, tetapi mereka turut memainkan peranan mereka dalam menyebarkan “hadits” tersebut..


Atas kesedaran saya tentang perkara ini, saya ingin mengajak teman-teman sekalian untuk menjaga beberapa disiplin dalam perkara ini..


Pertama: Apabila anda ingin memetik mana-mana hadits, alangkah baiknya sekiranya anda dapat menyertakan daripada kitab mana hadits tersebut diambil.. Misalnya dengan menulis, “Hadits Riwayat Al-Bukhari”, “Hadits Riwayat Abu Dawud”, dll..


Perkara ini penting dalam memastikan tiadanya sebarang unsur penipuan dalam memetik mana-mana hadits Nabawi.. Anda harus sedar, di sana adanya sekelompok manusia yang berniat buruk terhadap agama ini, lantas mereka mengatakan, “Hadits ini ada dalam kitab itu dan ini,” namun setelah diperiksa kembali, ternyata dakwaan tersebut tidak benar..


Begitu juga ketika sesuatu hadits yang dibacakan itu agak janggal bagi kita.. Sesuatu hadits yang tidak pernah kita dengar, tidak bererti hadits itu tidak wujud atau pun tidak shahih.. Jangan pula atas nama “sikap berhati-hati”, tanpa kita sedari kita telah menolak sebahagian hadits shahih.. Oleh itu, kaedah ini secara tidak langsung akan memudahkan urusan kita dalam mencari hadits tersebut dalam kitab tertentu..


Kedua: Apabila anda memetik mana-mana hadits, alangkah baiknya sekiranya anda boleh membawakan mana-mana pendapat ulama yang muktabar mengenai status hadits tersebut, sama ada shahih, hasan, dha’if, maudhu’, dll.. Ini bagi menghindarkan kita daripada menjadi agen penyebaran hadits palsu dalam masyarakat Islam hari ini..


Al-Imam Ibnu Hibban dalam kitab shahihnya (iaitu Shahih Ibnu Hibban), telah meletakkan satu pasal yang beliau namakan: “Pasal Menyebut Ketetapan Memasuki Neraka Bagi Sesiapa yang Menyandarkan Sesuatu kepada Al-Musthafa S.A.W, Sedangkan Dia Tidak Mengetahui Tentang Keshahihannya.”


Al-Imam Ibnu Hajar Al-Haitsami ditanya tentang seorang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat dan meriwayatkan hadits-hadits tanpa diterangkan sumber dan kedudukannya, maka jawab beliau: “Hadits-hadits yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadits, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadits. Ada pun jika dia hanya bergantung kepada kitab atau ucapan yang penulisnya bukan ahli hadits, maka tidak halal (berbuat demikian). Sesiapa yang melakukannya ditakzirkan dengan keras. Inilah kebanyakan khatib. Mereka semata-mata hanya melihat khutbah yang mengandungi hadits-hadits lalu mereka pun hafal. Mereka berkhutbah menggunakan hadits-hadits tersebut tanpa mengetahui asal usulnya. Maka wajib atas pemerintah di setiap negeri menghalang para khatib daripada berbuat demikian.”


Seorang ulama hadits Syam, Badruddin Al-Hasani telah berkata: “Tidak harus menyandarkan sesebuah hadits kepada Rasulullah S.A.W kecuali apabila dinyatakan keshahihannya oleh salah seorang huffaz yang dikenali (huffaz ialah orang yang begitu luas ilmunya tentang hadits dan seni ilmunya, sehingga apa yang diketahuinya mengenai hadits dan kecacatan hadits lebih banyak daripada apa yang tidak diketahuinya). Sesiapa yang berkata: ‘Rasulullah telah bersada…’ sedangkan dia tidak tahu keshahihan hadits tersebut menerusi salah seorang huffaz, dibimbangi dia termasuk dalam hadits ‘Sesiapa yang berdusta atasku apa yang tidak aku ucapkan, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka’.”


* * * * * * * * * *


Mungkin ada yang akan berkata, “Kalau begitu, hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh menyebarkan hadits, sedangkan kami yang tidak mempunyai ilmu tidak dapat berbuat demikian..” Saya katakan, cara yang paling mudah untuk memenuhi kedua-dua syarat di atas adalah dengan memetik hadits-hadits yang tertulis dalam Shahih Al-Bukhari dan juga Shahih Muslim, kerana hadits-hadits yang terkandung dalam kedua-dua kitab tersebut telah disepakati keshahihannya oleh para ulama (walau pun ada beberapa hadits yang telah dipertikaikan, namun majoriti ulama mengatakan semua hadits adalah shahih, wallahu a’lam)..


Ini bukanlah bererti saya menafikan wujudnya hadits-hadits shahih dalam kitab-kitab lain, cuma dalam kitab-kitab lain (seperti Sunan At-Tirmidzi, Sunan Abu Dawud, Sunan An-Nasa’i, Sunan Ibnu Majah, dll) didapati terkandung hadits-hadits yang tidak shahih.. Oleh itu, cara yang paling mudah, rujuklah Shahih Al-Bukhari dan Shahih Muslim..


* * * * * * * * * *


Mungkin ada juga yang akan berkata, “Kenapa perlu besar-besarkan perkara ini.. Orang nak buat baik, kenapa kita nak menghalang?” Saya katakan, ada satu riwayat dalam Sunan Ad-Darimi, dengan sanad yang shahih, yang menceritakan bagaimana Ibnu Mas’ud R.A melarang sekelompok manusia yang berzikir kepada Allah dalam keadaan yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi S.A.W..


Menurut kelompok tersebut, mereka hanya ingin berbuat baik.. Jawab Ibnu Mas’ud kepada mereka: “Wa kam min muridillilkhair lan yushibahu – Dan betapa ramai yang bertujuan baik tetapi tidak menepatinya.”


Selain itu, sekiranya anda membaca Shahih Al-Bukhari mahu pun Shahih Muslim, ada satu riwayat yang menceritakan bahawa ada sahabat Nabi S.A.W yang ingin berpuasa sepanjang tahun, ada pula yang ingin solat malam tanpa tidur, dan ada juga yang ingin menjauhi wanita untuk menumpukan ibadah kepada Allah.. Ketiga-tiga amalan tersebut tidaklah dilakukan oleh mana-mana manusia, melainkan sudah pasti niat mereka ingin mendekatkan kepada Allah semata-mata.. Namun, Rasulullah S.A.W melarang ketiga-tiga sahabat tersebut daripada melakukan amalan-amalan tersebut.. Ternyata, niat yang baik, sekiranya tidak bertepatan dengan sunnah Nabi S.A.W, tidak akan diterima oleh Allah..


* * * * * * * * * *


Mungkin ada pula yang akan berkata, “Bagaimana pula sekiranya kita memberikan ceramah kepada masyarakat umum, misalnya kepada orang-orang kampung, yang tidak mengetahui tentang perkara tersebut, perlukah kita menyebutkan ‘hadits ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari’ dan sebagainya? Mungkin mereka akan lebih pening sekiranya perkara ini disebutkan..”


Sekiranya itu adalah situasinya, maka menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan bahawa hadits tersebut memenuhi kedua-dua syarat di atas, kemudian katakanlah, “Nabi pernah bersabda…”


Ingatlah kata-kata Ibnu Hajar Al-Haitsami di atas: “Hadits-hadits yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadits, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadits.”


Begitu juga dengan kata-kata Badruddin Al-Hasani: “Tidak harus menyandarkan sesebuah hadits kepada Rasulullah S.A.W kecuali apabila dinyatakan keshahihannya oleh salah seorang huffaz yang dikenali.”


* * * * * * * * * *


Wallahu a’lam..





Friday, September 24, 2010

Untuk berilmu, jalannya berliku..




Bismillah wa alhamdulillah.

Sebuah perkongsian istimewa dari insan istimewa, Prof Dr. Sidek Baba. Seusai membacanya, ada secalit rasa yang tak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Saya yang selalu merasa lelah saat menempuh jalan menimba ilmu berasa begitu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dilalui beliau.

Arwah datuk pernah berpesan, "Kita ni kalau ada ilmu, orang pandang. Tak ada ilmu, jadi orang terbuang." Kalimah keramat itu amat memberi makna kepada hidupku.

Bapa dengan rasa rendah diri seorang penoreh getah selalu memberi nasihat, "Bapak orang miskin nak. Bapak tak mampu nak tanggung kau ke sekolah. Kalau kau nak ke sekolah juga, bapak doakan kau berjaya."
Aku mengerti mengapa bapa kata begitu. Walaupun keluhuran jiwa seorang ayah amat tinngi namun realiti hidup menjadikan aku teruja. "Apalah yang dapat mak bantu kamu selain menjual kuih, menganyam tikar dan mendoakan kau berjaya." Rasa dhaif ibuku terhadap hidup amat kurasakan di samping doa yang tidak pernah putus dipanjatkan untuk kejayaanku.

Lantaran itu sewaktu tidak berduit, akau mengayuh basikal sejauh 60 kilometer pergi balik dari kampung Pulau, Masjid Tanah hingga ke Sekolah Menengah Inggeris Gajah Berang di bandar Melaka. Walaupun ia jauh dan meletihkan tetapi semangat untuk menuntut ilmu tidak menjadikan aku patah harap. Ada ketikanya tayar basikaklku pecah dan aku tidak berduit untuk membetulkannya dan terpaksa menolak berbatu-batu jauhnya. Aku masih kental untuk belajar walaupun sekolah tidak begitu meraikan kehadiranku.

Dihina di dalam kelas

Setiap kali aku memasuki kelas, guru kelas akan memanggil namaku untuk membayar yuran bulanan. "Sidek, where is your school fees?"

"No teacher," jawabku antara dengar dengan tidak.

"When are you going to pay?," tanyanya lagi. Semua perhatian pelajar kelas tertumpu kepadaku. Aku tunduk malu. Ada kesan psikologi kepadaku. Tapi, aku masih tidak berputus asa.

Suatu pagi, basikalku bocordalam perjalanan ke sekolah. Aku terlewat sampai. Apabila masuk ke kelas, guru bahasa Inggeris bertanya kepadaku: "Why are you late?,"

"My bicycle punctured, sir. I'm sorry." jawabku spontan.

"From now on, I'll call you Mr. Puncture." Mendengar usikan guru itu, pelajar-pelajar lain ketawa. Aku rasa terusik dalam gelak mereka yang panjang.

Semasa di kelas peralihan (Remove Class), guru bahasa Melayu bertanyakan suatu soalan yang sukar untuk dijawab. Guru itu menyuruh aku berdiri di atas kerusi. "Kamu 'kepala kohok' berdiri di atas kerusi . Selagi tak dapat jawab, jangan duduk."

Pelajar-pelajar lain memandangku. Aku rasa terhina. Terhina yang amat sangat kerana dipanggil 'kepala kohok'. Aku tetap sabar dan semangatku ntuk belajar tidak pernah mati.

Suatu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan sepanjang hayatku adalah apabila seorang guru matematik di Tingkatan 2D memulangkan buku kerja rumah. Aku memang susah nak faham latihan matematik. Aku menduga tentu banyak kesalahan kali ini.
"Sidek Baba, stand up!" guru itu terus memanggil namaku dan aku berdiri. Ia terus membaling buku latihan dan tepat mengenai mka dan batang hidungku.
"Hey Sidek! You better go back to kampung tanam kacang lagi baik," katanya marah.
Pelajar-pelajar lain ketawa. Sekali lagi penghinaan tertimpa kepadaku. Terasa mahu menjerit sekuat-kuatnya. Aku masih sabar dan tekadku masih tinggi untuk belajar. Tanpa kusedari, air mata mengalir di pipiku.

Tiada yang simpati

Dalam perjalanan balik aku menangis teresak-esak mengenangkan nasib diri. Tapi apakan daya, aku tidak berdaya. Mengapa guru-guru tidak bertanyakan latar belakang keluargaku, cara aku bersekolah dan kepayahan hidup yang aku hadapi? Mengapa guru hanya meraikan murid-murid yang cerdik sedangkan aku yang lemah ini terbiar dan terus tercicir? Aku berbisik, tetapi siapa yang ingin mendengar ratapan ini? Rasanya terlalu payah untuk belajar dan menjadi orang berilmu.

Alangkah baiknya sekiranya ada guru yang tahu bahawa bapaku hanya seorang penoreh getah dengan pendapatan hanya RM 2.50 sehari. Ataupun sekiranya orang mengetahui bahawa aku mengayuh basikal sejauh 60 kilometer ke sekolah setiap hari. Apa yang aku perlukan hanya simpati. Simpati seorang guru membolehkan ia memahami anak muridnya. Dari situ pengertian yang tulus diharapkan dan pertolongan yang ikhlas dalam mendidik diberikan.

Mujur aku mendapat gred B dalam LCE (Lower School Certificate) yang membolehkan meneruskan pelajaran ke tingkatan 4. Dalam peperiksaan MCE ( Malaysian School Certificate ) aku mendapat Gred 3. Pada tahun 1964, aku menjadi guru sementara di Sekolah Umum Jeram dan masuk ke Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (MPSI) (kini dinaiktaraf kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris) selama dua tahun.

Di MPSI, aku mendapat RM 40 sebulan. Aku kirimkan kepada keluarga RM 20 daripadanya dan sepanjang bulan aku hanya berbelanja sekitar RM 20. Selalunya pertengahan bulan aku sudah kehabisan wang. Aku tetap bersyukur walaupun kehidupan di maktab tidak seperti orang lain.

Cita-Cita Melangit


Di MPSI, aku bercita-cita untuk pergi lebih jauh lagi walaupun terasa malu untuk menyebutnya kepada orang lain. Aku menyimpan azam, satu hari aku akan ke menara gading. Tekad ini tersemat mendalam dalam hati bahawa anak penoreh getah ini kalau diberi peluang boleh pergi lebih jauh seperti orang lain juga.

Sejak mula bekerja pada tahun 1968, gajiku hanya RM 250 sebulan. RM 100 aku asingkan untuk ibu dan ayahku. RM 100 untuk belanjaku sebulan dan RM 50 lagi aku gunakan untuk mendaftar di Stamford College Gaya Pos bagi persiapan Higher School Certificate (HSC). Pada waktu itu, tiada kelas lanjutan di tempat berdekatan. Kalau adapun di bandar Melaka, tetapi aku tidak mampu kerana masalah belanja.

Tujuh kali aku mencuba. Setiap kali, aku masih tidak mendapat Sijil Penuh. Aku tetap sabar dan tidak pernah berputus asa. Aku tahu berilmu memerlukan tingkat kesabaran dan usaha yang tinggi. Aku hanya mendapat Sijil Penuh selepas berumah tangga. Inilah rezeki perkahwinan agaknya.

Aku diterima masuk ke Universiti Malaya pada tahun 1976. Aku tinggal di kolej, aktif dengan Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya dan Persatuan Bahasa Melayu. Pada hujung minggu aku balik ke Melaka menziarahi keluarga dan kadang-kadang aku tidak balik kerana menghabiskan masa di Kolej Kelima mendidik generasi pelajar ke arah pemahaman Islam yang lebih komprehensif. Aku terlibat aktif dalam kepimpinan pelajar dan dakwah.

Setelah tamat ijazah Pertama Universiti Malaya, aku mendaftar melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Pengajian Islam, di Universiti Kebangsaan Islam selama dua tahun iaitu pada tahun 1983-1985. Kami menaiki sebuah kereta dengan kawan-kawan dari Melaka pada setiap hujung minggu berulang alik ke Bangi. Memang banyak cabarannya, tetapi aku menghadapinya dengan sabar dan cekal kerana tanpa pendidikan Islam pada tahap tinggi tidak mungkin boleh menjadi seorang pendakwah yang baik. Bagiku ilmu adalah penting. Umat Islam dengan dukungan ilmu memberi asas baik untuk maju ke hadapan.

Hijrah

Pada tahun 1985, bermulanya titik tolak yang amat bermakna dalam hidupku. Aku nerkeyakinan bahawa hijrah dan pengorbanan ialah jawapan terbaik dalam meneroka ilmu dan meningkatkan diri.
Kami sekeluarga berhijrah ke Sri Layang, Genting Highland kerana ditawarkan bertugas di Institut Aminuddin Baki. Aku tahu institut ini ada menawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi. Isteriku berhenti kerja daripada menjadi pegawai bank.

Pada tahun 1986, aku ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran ke Amerika di Universiti Indiana, Bloomington ,melanjutkan pelajaran dalam bidang Perbandingan Pendidikan. Ini merupakan satu anugerah daripada Allah yang amat bermakna bagi kami sekeluarga kerana kerana memang tidak terbayang peluang itu ada dalam hidup kami. Inilah hikmah hijrah dan pengorbanan isteriku yang berhenti kerja kerana citi-cita tinggiku untuk belajar dan menguasai ilmu sebanyak mungkin.

Setelah tamat Sarjana Perbandingan Pendidikan, aku rasa bersyukur kerana kejayaan tertinggi ini paling tidak menjadi bekal untuk aku pergi lebih jauh dan menjadi inspirasi untuk kelapan-lapan anak-anakku untuk menjadi lebih cemerlang daripadanya pada masa depan.

Sibuk berceramah


Di Amerika Syarikat aku tidak duduk diam dengan belajar sahaja. Pada hujung minggu apabila berkelapangan, aku bertemu dengan pelajar-pelajar Melayu di seluruh Amerika memberikan ceramah kesedaran tentang Islam dan peranan umat Melayu apabila kembali ke Malaysia nanti.
Rupa-rupanya kerja sukarela aku itu mendapat perhatian Jabatan Penuntut Malaysia di Amerika Syarikat. Mereka telah membuat perakuan kepada Kementerian Pendidikan di Kuala Lumpur supaya aku menyambung pelajaran di Peringkat Doktor Falsafah supaya peranan mendidik pelajar di sana dapat diteruskan.

Aku amat terharu dan bersyukur kepada Ilahi apabila pada 14 Jun 1987, aku menerima panggilan telefon daripada Kementerian Pelajaran supaya aku terus menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah. Alasannya bagi membantu pihak Jabatan Penuntut memberi nasihat dan kesedaran kepada pelajar-pelajar Melayu di sana. Syukur, hijrah dan pengorbanan isteri yang amat bermakna memberi peluang untukku belajar lagi.

Pada musim sejuk 1987 kami berpindah ke Universiti Northern Illinois, Dekalb, tidakk jauh dari bandar Chicago unutk melanjutkan pelajaran di Peringkat Doktor Pendidikan. Oleh kerana anakku ramai, pihak universiti tidak membenarkan kami tinggal di rumah universiti. Mujur kawan-kawan membantu dan pihak Pusat Islam atau masjid di universiti itu membenarkan kami tinggal di bahagian atas masjid itu.

Waktu itu umurku sudah meningkat 42 tahun. Biasiswa yang diberikan pula terhad. Tiga tahun aku belajar dengan wang yang amat terbatas, membuat kunjungan dan menerima undangan pelajar untukk berceramah di seluruh Amerika Syarikat bukanlah suatu hal yang mudah. Kadang-kadang diundang juga ke England dan Amerika Selatan untuk memberikan ceramah dan dakwah.

Syukur

Alhamdulillah, awal tahun 1991 aku berjaya memperoleh ijazah Doktor Pendidikan dalam bidang Kajian Dasar dalam Pendidikan Tidak Formal dan Pendidikan Sepanjang Hayat. Memang benar, untuk berilmu, jalannya payah. Ia menuntut pengorbanan, hijrah dan tekad yang tinggi. Dan aku bersyukur di sebalik kejayaan yang aku capai aku memiliki seorang isteri yang tabah mengharungi susah payah. Ia amat memahami pentingnya ilmu sebagai sumber inspirasi kepada anak-anak.

Syukur dibawah didikan dan jagaan isteriku, lapan orang anak telah tamat pengajian di universiti dan separuh daripada mereka sedang belajar di tahap doktor falsafah dan sarjana. Kami bersyukur kepada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Mengingat masa laluku yang payah, aku mengalirkan air mata kesyukuran yang tidak terhingga. Allah Maha Besar.





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...