Friday, September 24, 2010

Sirah Muzikal

bismillahirrohmaanirrohiim.


SIRAH MUZIKAL 2010

[ TARIKH ]
Sabtu | 9 Oktober 2010

[ MASA ]
8 PM - 11.30 PM
[TEMPAT]
Dewan Auditorium D8,
Parcel D, Precint 1,
Putrajaya

Laman web rasmi dan untuk tempahan tiket:

seerah muzikal

Untuk berilmu, jalannya berliku..




Bismillah wa alhamdulillah.

Sebuah perkongsian istimewa dari insan istimewa, Prof Dr. Sidek Baba. Seusai membacanya, ada secalit rasa yang tak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Saya yang selalu merasa lelah saat menempuh jalan menimba ilmu berasa begitu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dilalui beliau.

Arwah datuk pernah berpesan, "Kita ni kalau ada ilmu, orang pandang. Tak ada ilmu, jadi orang terbuang." Kalimah keramat itu amat memberi makna kepada hidupku.

Bapa dengan rasa rendah diri seorang penoreh getah selalu memberi nasihat, "Bapak orang miskin nak. Bapak tak mampu nak tanggung kau ke sekolah. Kalau kau nak ke sekolah juga, bapak doakan kau berjaya."
Aku mengerti mengapa bapa kata begitu. Walaupun keluhuran jiwa seorang ayah amat tinngi namun realiti hidup menjadikan aku teruja. "Apalah yang dapat mak bantu kamu selain menjual kuih, menganyam tikar dan mendoakan kau berjaya." Rasa dhaif ibuku terhadap hidup amat kurasakan di samping doa yang tidak pernah putus dipanjatkan untuk kejayaanku.

Lantaran itu sewaktu tidak berduit, akau mengayuh basikal sejauh 60 kilometer pergi balik dari kampung Pulau, Masjid Tanah hingga ke Sekolah Menengah Inggeris Gajah Berang di bandar Melaka. Walaupun ia jauh dan meletihkan tetapi semangat untuk menuntut ilmu tidak menjadikan aku patah harap. Ada ketikanya tayar basikaklku pecah dan aku tidak berduit untuk membetulkannya dan terpaksa menolak berbatu-batu jauhnya. Aku masih kental untuk belajar walaupun sekolah tidak begitu meraikan kehadiranku.

Dihina di dalam kelas

Setiap kali aku memasuki kelas, guru kelas akan memanggil namaku untuk membayar yuran bulanan. "Sidek, where is your school fees?"

"No teacher," jawabku antara dengar dengan tidak.

"When are you going to pay?," tanyanya lagi. Semua perhatian pelajar kelas tertumpu kepadaku. Aku tunduk malu. Ada kesan psikologi kepadaku. Tapi, aku masih tidak berputus asa.

Suatu pagi, basikalku bocordalam perjalanan ke sekolah. Aku terlewat sampai. Apabila masuk ke kelas, guru bahasa Inggeris bertanya kepadaku: "Why are you late?,"

"My bicycle punctured, sir. I'm sorry." jawabku spontan.

"From now on, I'll call you Mr. Puncture." Mendengar usikan guru itu, pelajar-pelajar lain ketawa. Aku rasa terusik dalam gelak mereka yang panjang.

Semasa di kelas peralihan (Remove Class), guru bahasa Melayu bertanyakan suatu soalan yang sukar untuk dijawab. Guru itu menyuruh aku berdiri di atas kerusi. "Kamu 'kepala kohok' berdiri di atas kerusi . Selagi tak dapat jawab, jangan duduk."

Pelajar-pelajar lain memandangku. Aku rasa terhina. Terhina yang amat sangat kerana dipanggil 'kepala kohok'. Aku tetap sabar dan semangatku ntuk belajar tidak pernah mati.

Suatu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan sepanjang hayatku adalah apabila seorang guru matematik di Tingkatan 2D memulangkan buku kerja rumah. Aku memang susah nak faham latihan matematik. Aku menduga tentu banyak kesalahan kali ini.
"Sidek Baba, stand up!" guru itu terus memanggil namaku dan aku berdiri. Ia terus membaling buku latihan dan tepat mengenai mka dan batang hidungku.
"Hey Sidek! You better go back to kampung tanam kacang lagi baik," katanya marah.
Pelajar-pelajar lain ketawa. Sekali lagi penghinaan tertimpa kepadaku. Terasa mahu menjerit sekuat-kuatnya. Aku masih sabar dan tekadku masih tinggi untuk belajar. Tanpa kusedari, air mata mengalir di pipiku.

Tiada yang simpati

Dalam perjalanan balik aku menangis teresak-esak mengenangkan nasib diri. Tapi apakan daya, aku tidak berdaya. Mengapa guru-guru tidak bertanyakan latar belakang keluargaku, cara aku bersekolah dan kepayahan hidup yang aku hadapi? Mengapa guru hanya meraikan murid-murid yang cerdik sedangkan aku yang lemah ini terbiar dan terus tercicir? Aku berbisik, tetapi siapa yang ingin mendengar ratapan ini? Rasanya terlalu payah untuk belajar dan menjadi orang berilmu.

Alangkah baiknya sekiranya ada guru yang tahu bahawa bapaku hanya seorang penoreh getah dengan pendapatan hanya RM 2.50 sehari. Ataupun sekiranya orang mengetahui bahawa aku mengayuh basikal sejauh 60 kilometer ke sekolah setiap hari. Apa yang aku perlukan hanya simpati. Simpati seorang guru membolehkan ia memahami anak muridnya. Dari situ pengertian yang tulus diharapkan dan pertolongan yang ikhlas dalam mendidik diberikan.

Mujur aku mendapat gred B dalam LCE (Lower School Certificate) yang membolehkan meneruskan pelajaran ke tingkatan 4. Dalam peperiksaan MCE ( Malaysian School Certificate ) aku mendapat Gred 3. Pada tahun 1964, aku menjadi guru sementara di Sekolah Umum Jeram dan masuk ke Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (MPSI) (kini dinaiktaraf kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris) selama dua tahun.

Di MPSI, aku mendapat RM 40 sebulan. Aku kirimkan kepada keluarga RM 20 daripadanya dan sepanjang bulan aku hanya berbelanja sekitar RM 20. Selalunya pertengahan bulan aku sudah kehabisan wang. Aku tetap bersyukur walaupun kehidupan di maktab tidak seperti orang lain.

Cita-Cita Melangit


Di MPSI, aku bercita-cita untuk pergi lebih jauh lagi walaupun terasa malu untuk menyebutnya kepada orang lain. Aku menyimpan azam, satu hari aku akan ke menara gading. Tekad ini tersemat mendalam dalam hati bahawa anak penoreh getah ini kalau diberi peluang boleh pergi lebih jauh seperti orang lain juga.

Sejak mula bekerja pada tahun 1968, gajiku hanya RM 250 sebulan. RM 100 aku asingkan untuk ibu dan ayahku. RM 100 untuk belanjaku sebulan dan RM 50 lagi aku gunakan untuk mendaftar di Stamford College Gaya Pos bagi persiapan Higher School Certificate (HSC). Pada waktu itu, tiada kelas lanjutan di tempat berdekatan. Kalau adapun di bandar Melaka, tetapi aku tidak mampu kerana masalah belanja.

Tujuh kali aku mencuba. Setiap kali, aku masih tidak mendapat Sijil Penuh. Aku tetap sabar dan tidak pernah berputus asa. Aku tahu berilmu memerlukan tingkat kesabaran dan usaha yang tinggi. Aku hanya mendapat Sijil Penuh selepas berumah tangga. Inilah rezeki perkahwinan agaknya.

Aku diterima masuk ke Universiti Malaya pada tahun 1976. Aku tinggal di kolej, aktif dengan Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya dan Persatuan Bahasa Melayu. Pada hujung minggu aku balik ke Melaka menziarahi keluarga dan kadang-kadang aku tidak balik kerana menghabiskan masa di Kolej Kelima mendidik generasi pelajar ke arah pemahaman Islam yang lebih komprehensif. Aku terlibat aktif dalam kepimpinan pelajar dan dakwah.

Setelah tamat ijazah Pertama Universiti Malaya, aku mendaftar melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Pengajian Islam, di Universiti Kebangsaan Islam selama dua tahun iaitu pada tahun 1983-1985. Kami menaiki sebuah kereta dengan kawan-kawan dari Melaka pada setiap hujung minggu berulang alik ke Bangi. Memang banyak cabarannya, tetapi aku menghadapinya dengan sabar dan cekal kerana tanpa pendidikan Islam pada tahap tinggi tidak mungkin boleh menjadi seorang pendakwah yang baik. Bagiku ilmu adalah penting. Umat Islam dengan dukungan ilmu memberi asas baik untuk maju ke hadapan.

Hijrah

Pada tahun 1985, bermulanya titik tolak yang amat bermakna dalam hidupku. Aku nerkeyakinan bahawa hijrah dan pengorbanan ialah jawapan terbaik dalam meneroka ilmu dan meningkatkan diri.
Kami sekeluarga berhijrah ke Sri Layang, Genting Highland kerana ditawarkan bertugas di Institut Aminuddin Baki. Aku tahu institut ini ada menawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi. Isteriku berhenti kerja daripada menjadi pegawai bank.

Pada tahun 1986, aku ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran ke Amerika di Universiti Indiana, Bloomington ,melanjutkan pelajaran dalam bidang Perbandingan Pendidikan. Ini merupakan satu anugerah daripada Allah yang amat bermakna bagi kami sekeluarga kerana kerana memang tidak terbayang peluang itu ada dalam hidup kami. Inilah hikmah hijrah dan pengorbanan isteriku yang berhenti kerja kerana citi-cita tinggiku untuk belajar dan menguasai ilmu sebanyak mungkin.

Setelah tamat Sarjana Perbandingan Pendidikan, aku rasa bersyukur kerana kejayaan tertinggi ini paling tidak menjadi bekal untuk aku pergi lebih jauh dan menjadi inspirasi untuk kelapan-lapan anak-anakku untuk menjadi lebih cemerlang daripadanya pada masa depan.

Sibuk berceramah


Di Amerika Syarikat aku tidak duduk diam dengan belajar sahaja. Pada hujung minggu apabila berkelapangan, aku bertemu dengan pelajar-pelajar Melayu di seluruh Amerika memberikan ceramah kesedaran tentang Islam dan peranan umat Melayu apabila kembali ke Malaysia nanti.
Rupa-rupanya kerja sukarela aku itu mendapat perhatian Jabatan Penuntut Malaysia di Amerika Syarikat. Mereka telah membuat perakuan kepada Kementerian Pendidikan di Kuala Lumpur supaya aku menyambung pelajaran di Peringkat Doktor Falsafah supaya peranan mendidik pelajar di sana dapat diteruskan.

Aku amat terharu dan bersyukur kepada Ilahi apabila pada 14 Jun 1987, aku menerima panggilan telefon daripada Kementerian Pelajaran supaya aku terus menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah. Alasannya bagi membantu pihak Jabatan Penuntut memberi nasihat dan kesedaran kepada pelajar-pelajar Melayu di sana. Syukur, hijrah dan pengorbanan isteri yang amat bermakna memberi peluang untukku belajar lagi.

Pada musim sejuk 1987 kami berpindah ke Universiti Northern Illinois, Dekalb, tidakk jauh dari bandar Chicago unutk melanjutkan pelajaran di Peringkat Doktor Pendidikan. Oleh kerana anakku ramai, pihak universiti tidak membenarkan kami tinggal di rumah universiti. Mujur kawan-kawan membantu dan pihak Pusat Islam atau masjid di universiti itu membenarkan kami tinggal di bahagian atas masjid itu.

Waktu itu umurku sudah meningkat 42 tahun. Biasiswa yang diberikan pula terhad. Tiga tahun aku belajar dengan wang yang amat terbatas, membuat kunjungan dan menerima undangan pelajar untukk berceramah di seluruh Amerika Syarikat bukanlah suatu hal yang mudah. Kadang-kadang diundang juga ke England dan Amerika Selatan untuk memberikan ceramah dan dakwah.

Syukur

Alhamdulillah, awal tahun 1991 aku berjaya memperoleh ijazah Doktor Pendidikan dalam bidang Kajian Dasar dalam Pendidikan Tidak Formal dan Pendidikan Sepanjang Hayat. Memang benar, untuk berilmu, jalannya payah. Ia menuntut pengorbanan, hijrah dan tekad yang tinggi. Dan aku bersyukur di sebalik kejayaan yang aku capai aku memiliki seorang isteri yang tabah mengharungi susah payah. Ia amat memahami pentingnya ilmu sebagai sumber inspirasi kepada anak-anak.

Syukur dibawah didikan dan jagaan isteriku, lapan orang anak telah tamat pengajian di universiti dan separuh daripada mereka sedang belajar di tahap doktor falsafah dan sarjana. Kami bersyukur kepada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Mengingat masa laluku yang payah, aku mengalirkan air mata kesyukuran yang tidak terhingga. Allah Maha Besar.





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...