Monday, May 2, 2011

Dan berbahagialah.

Hati sayu mendengar khabar, perihal dirinya yang akan berhijrah menemani suami tercinta. Berulang kali soalan yang sama saya lontarkan, seolah mengharap jawapan yang berbeza. Dengan tenang, jawapnya tetap sama.

Rintik hujan diluar tidak meredakan resah yang mula berputik dijiwa. Sayu bertambah, renyai hujan bagai mengerti rasa hati saya. Seketika, bual kami hanya bergema dalam hati. Sepi. Saya bermonolog sendiri, melayan emosi, sedang saya tidak tahu apa yang dibicarakan dalam hatinya. Beliau meneruskan pemanduan dengan tenang, sementelah saya dalam hati sedang menjerit, "Akak, janganlah pergi. Please please..,"


Minda sedar saya mengingatkan, seharusnya saya meraikan dirinya yang berkorban segalanya demi untuk mentaati seorang suami, ibadah yang tinggi nilainya disisi Allah swt bagi seorang wanita. Seketika, saya terlupa bahwa saya pernah berjanji untuk berjuang mempertahankan rumah tangga muslim, rumah tangga yang terbina atas landasan aqidah yang benar. Saya yakin, rumah tangga seorang muslim itu sangat besar nilainya untuk dipelihara, sangat hebat kesannya dalam pembentukan individu serta masyarakat muslim yang hebat pada masa akan datang. Andai mengimpikan generasi sehebat para sahabat radiyallahuanhum dan golongan yang mengikuti mereka sesudahnya, binaan asas individu serta rumahtangga muslim bukanlah elemen yang boleh dipandang enteng. Saya tidak betah melihat perkembangan statistik perceraian yang mendadak kebelakangan ini. Ia sungguh tidak menggembirakan! Jika dibiarkan berlarutan, nescaya semakin sirnalah golongan ulama' dan golongan yang faqeh dalam agamanya tanpa ada generasi hebat yang mewarisi.





Justeru, disinilah peranan seorang wanita begitu diperlukan, andai kita terlupa.

Kerna terlalu menyayangi dirinya, saya terlupa dimanakah keutamaan dan apakah keperluannya saya beremosi menurut hati. Berjauhan mungkin ada baiknya, saya lantas memujuk hati.

Saya meluruskan hati, mewaraskan emosi.

"Akak, saya minta maaf. Patutnya saya support akak, bukannya sedih sedih tak tentu pasal macam nie,"

Resah saya disambut senyuman, senyuman seorang wanita bijak yang selalu mendahulukan suaminya.



Kakandaku yang hebat, wanita secerah dan secantik bunga :)

Diketika yang lain, bicara saya bersama dengan seorang ukhti berkisar tentang keutamaan seorang suami. Dalam bicaranya, beliau menegaskan ketaatan kepada suami begitu penting dan utama sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Rasulullah shallallahualaihi wassalam dalam hadith yang dirakamkan oleh imam Ahmad dalam musnadnya, daripada Mu'az bin Jabal, beliau menceritakan kepada Rasulullah saw "Aku melihat orang-orang di Yaman, ada yang sujud sesama mereka, jadi bolehkah kami sujud kepada engkau wahai Rasulullah?" Jawab Nabi, "Jika aku boleh menyuruh seorang manusia sujud kepada manusia yang lain, pasti aku akan suruh isteri sujud kepada suaminya".

Begitu Islam menuntut agar seorang isteri untuk taat kepada suaminya. Saya yang saat itu masih tidak mengerti keutamaan seorang suami dalam hidup seorang wanita hanya mengangguk mengiyakan, sambil menyemat tekad untuk beramal seperti yang diperintahkan.

Namun, berteori dan beramali pasti akan ada bezanya.



Terima kasih kakak-kakakku yang tidak pernah lelah untuk berkongsi kisah dan pengalaman, dalam mempersiapkanku untuk menjadi seorang isteri dan ibu dimasa akan datang. Seringkali berimpian untuk menjadi seorang isteri yang "solehah" kepada seorang suami, andaian saya pernah dikejutkan dengan peringatan tulus daripada mereka yang telah dahulu merintis jalan
dalam mencari redha Allah saat berperanan sebagai seorang isteri dan ibu. Kata-kata yang menyentak rasa, semoga diri tidak alpa.
"Untuk menjadi seorang ibu mithali itu mudah, kerana ia fitrah. Tetapi untuk taat kepada suami, ia bukan mudah. Ketaatan kepada suami, jangan didasari dengan cinta, kerana cinta pasti sirna. Tetapi, taatilah suami dengan ketaqwaan, iaitu kerana takutkan Allah swt"

Hati bergetar dengan kesyukuran, bertahmid kepada Ar-Rahman kerana telah menganugerahi diriku dengan teman-teman yang begitu tegar untuk mencari redha-Nya. Alhamdulillah :)

Saat ini, saya masih belum memiliki suami untuk ditaati, namun, sebelum saat itu tiba, saya akan cuba sedaya mampu memperkaya diri dengan ilmu perihal rumah tangga dan isu sekitarnya.

Kalian yang telah dianugerahi dengan nikmat suami, anak-anak dan keluarga, selamat berjuang dan berbahagia. Semoga bahtera yang dilayari selamat tiba ke destinasi abadi yang diredhai Ilahi ♥♥♥

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...