Thursday, August 12, 2010

Dengan nama Allah.


Bismillahirrahmanirrahim~
this is my countless attempt to write.
Isy isy.. Tak yakin pada diri sendiri ya Nisa'?

Laju saya menganggukkan kepala. Percubaan berkali-kali saya selalunya berakhir dengan pilihan untuk memadamkan kembali apa yang telah saya coretkan. Dan percubaan yang berkali-kali itu tidak mengambil masa yang sedikit, tetapi ia melibatkan kerahan masa dan tenaga yang banyak.

Saya tak begitu yakin yang saya pada akhirnya akan bisa menghasilkan sesuatu yang bernas untuk menjadi bahan bacaan dan tazkirah kita bersama. Bukan mencari kesempurnaan pada penulisan, tetapi saya tidak redha andai apa yang bakal saya titipkan ini tidak punya nilai untuk kebaikan ummah, apatah lagi untuk dinilai di sisi Allah swt.

Namun, bagi mereka yang menjadikan penulisan dan blogging sebagai sebahagian daripada hidup mereka, usaha dan minat mereka amat saya hargai. Masakan tidak, sebelum mula memaksa diri untuk memerah otak dan berkongsi karya melalui penulisan, saya adalah insan yang sewenang-wenangnya beranggapan bidang penulisan adalah bidang yang mudah dan enteng. Selalu mengambil ringan keperluan dan peri penting bidang penulisan, sungguh kini amat saya kesali. Saya memohon keampunan kepada Allah swt kerana dahulu pernah beranggapan bahawa Sains adalah segala-galanya menyebabkan saya memandang sebelah mata keperluan untuk memperbaiki kemahiran bahasa dan penulisan saya samada dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris mahupun bahasa Arab dan Mandarin. Saya lupa, semua itu adalah ilmu alat yang sangat memungkinkan bagi seorang hamba mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah swt. Namun, saat hidayah Allah mengetuk kamar hati, saya sedar apa yang saya miliki MESTI saya kongsikan bersama semua kerana SHARING IS CARING! Slogan yang mudah dan biasa menyapa cuping telinga, namun, kesannya begitu besar dalam diri dan kehidupan seseorang insan.



Atas indahnya nikmat perkongsian, kita bertebaran di atas muka bumi Allah ini dengan harmoni dan tenang. Atas rasa ingin berkongsi dan tanggungjawab, kita bernaung di bawah sebuah ketenangan yang bernama keluarga dan kerana perkongsian jugalah saat ini saya menitip kalam dan anda membacanya.

Dek kerana saya telah pun tahu, didesak oleh mahu, saya saat ini mengasah diri untuk menuju mampu agar apa yang dipinjamkan kepada saya tidak terhenti dan berakhir hanya pada diri saya sendirian. Hidup dalam rantaian kasih sayang, saya berdoa agar secebis ikhtiar ini dipandang oleh Allah swt sebagai amal soleh. Amiin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...