Friday, August 13, 2010

Pagi yang indah~


Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah

:)
Saat mata yang sakit ni cuba saya bukakan untuk hari yang baru, saya sedar pujian dan kesyukuran hanya untuk al-Khaliq kerana masih mengurniakan kesempatan bagi saya untuk bernafas dan terus hidup.

Streotype?

Mungkin, tapi saya tak kisah.

Kerana kali ini saya yang merasai ujian nikmat kesihatan yang diambil kembali pulang kepada Pemilik-Nya. Saya juga yang merasai kepedihan saat cuba membuka kelopak mata yang membengkak.
Berbaur rasa hati kerana saat melalui kepedihan dan kesedihan kerana diuji dengan kesakitan, Allah swt masih sudi mencampakkan secebis bahagia di hati saya pada fajar Ramadhan ini.

Alhamdulillah.
Seusai solat subuh, rindu dan ingatan saya membawa saya kepada keluarga di kampung. Tiada ungkapan kata-kata yang dapat menggambarkan kebahagiaan saya saat ini. Memori saya menjengah ke ruang keluarga di mana di situlah Mak biasanya akan melaksanakan kefardhuannya kepada Allah swt. Saya melihat Mak yang penuh kekhusyukkan sujud menghadap yang Esa. Lama sujudnya mendoakan kesejahteraan anak-anak sekalipun nasibnya kelak masih belum tentu.

Kerap kali saya mempersoalkan diri "Bisakah kami mempersiapkan kebahagiaan di hari tua Mak dan Ayah setelah mereka menghamparkan kami kasih sayang yang tidak bertepi sejak kami kecil?"Kebisuan yang menyahut soalan saya. Yang ada cuma segenggam azam yang saya tanam jauh di sudut hati untuk mereka dan tangan yang yang saya tadahkan ke langit sambil bibir dan air mata saya beriringan memohon,


' Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil '
(Surah al-Isra': 24)




Suara ayah mengalunkan zikir menjadi melodi yang rutin bagi memecahkan keheningan subuh di teratak kami. Sedari kecil, saya diajar untuk melazimi zikir-zikir ma'thur, dan sehingga kini ayah masih sama dengan peringatannya itu. Ia menjadi halwa telinga yang dengannya kami adik beradik membesar. Andai tiada lelaki ini, saya tidak mampu membayangkan kedudukan saya saat ini.

Justeru,

Terima kasih ayah.

Terima kasih kerana memperkenalkan saya dengan bulan yang diciptakan oleh Allah.


Terima kasih kerana suka bercerita kisah-kisah para anbiya' kepada saya dan adik-adik.


Terima kasih kerana membetulkan pronounciation 'lion' saya walaupun saya nangis-nangis sebab ayah garang. (^_^)v

Dan dan..

Terima kasih kerana mewasiatkan saya dengan wasiat yang disampaikan oleh Luqmanul Hakim kepada anak-anaknya didalam al-Qur'an.


"Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, 'Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar'"

"Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu"

"Dan jika keduanya memaksamu mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati kedua-duanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan kuberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

"Luqman berkata' Wahai anakku! Sungguh jika ada sesuatu perbuatan seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus, Maha Teliti"

"Wahai anakku! Laksanakanlah solat dan suruhlah manusia berbuat yang makruf dan cegahlah (mereka) dari yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesunguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting"

"Dan jangalah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri."

"Dan sederhanalah dalam berjalan, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai"

[Luqman: 13-19]

Maka, nikmat Tuhan yang manakah yang patut saya dustakan?


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...